5 Cara Beli Tiket Flight Murah Tahun Ini

5 Kebaikan Perancangan Kewangan Untuk Masa Depan


5-kebaikan-perancangan-kewangan

Kebaikan perancangan kewangan untuk masa depan?

Keliru? Tak pernah dengar pun istilah 'perancangan kewangan' ni?

Haaa, jangan pergi mana-mana tau, kerana kali InfoEkstra membawa anda untuk mengetahui lebih mendalam lagi tentang perancangan kewangan.

Tak kenal maka tak mesra kan?

Dalam kita seronok berbelanja, pernah atau tidak kita terfikir akan perancangan kewangan kita untuk masa hadapan? Merancang perjalanan perbelanjaan kita memberikan manfaat yang besar untuk kelansungan ekonomi hidup kita sebagai pengguna.

Masih tercari-cari apa perancangan kewangan terbaik untuk anda?

Tak perlu keliru dan buntu, mari kita sama-sama melengkapi diri dengan mengenali kebaikan perancangan kewangan untuk masa depan.

Kenapa Kita Perlu Merancang Kewangan?

Kita sedia maklum bahawa setiap individu mempunyai kebebasan sendiri dalam membuat pilihan dan keputusan mengenai kewangan agar tidak terjerat dengan bebanan hutang, krisis ekonomi dan liabiliti jangka panjang.

Namun sedarkah kita di dalam kebebasan itu kita juga memerlukan perancangan kewangan yang betul untuk menentukan kelansungan ekonomi yang baik di masa hadapan?

Jadi apa itu 'perancangan kewangan'?

Perancangan kewangan adalah proses pengurusan ekonomi dalam menguruskan kewangan seseorang  dengan bijak merangkumi setiap aspek di dalam kehidupan individu seperti akaun simpanan, pelaburan, pengurusan hutang, perlindungan insurans, perbelanjaan peribadi/komitmen bulanan dan sebagainya.

Pelan perancangan kewangan yang menyeluruh dan sistematik dapat membantu kemana arah perbelanjaan anda untuk masa hadapan sekaligus dapat menjadikan impian anda menjadi realiti contohnya pembelian aset, perancangan pendidikan anak dan sebagainya.

Tidak dapat disangkal lagi setiap individu perlu ada perancangan kewangan yang baik, namun apa kepentingan mempunyai struktur perbelanjaan yang teratur?

5 KEBAIKAN PERANCANGAN KEWANGAN UNTUK MASA DEPAN

1 - KELANSUNGAN EKONOMI YANG KUKUH

Ibarat roda, kehidupan kita tidak semestinya akan sentiasa berada di atas, dengan adanya perancangan kewangan untuk masa hadapan sudah tentu kehidupan kita akan lebih terjamin dan teratur.

Aset kewangan adalah sangat penting dalam memastikan perancangan untuk keluarga dan anak-anak terlaksana dan seterusnya menjadikan impian untuk yang tersayang tercapai.

Contohnya,

perancangan untuk pembelajaran anak-anak. Saban tahun, kos pembelajaran bermula daripada tadika sehingga ke menara gading semakin meningkat, hal ini akan memberikan kesan  buruk kepada ibu bapa sekiranya mereka tidak merancang daripada awal kos perbelanjaan pendidikan anak-anak mereka.

Kebanyakan daripada mereka yang tidak mempunyai perancangan kewangan yang baik, tiada tabungan yang mampu menampung bebanan yang bakal berlaku. Ibu bapa seharusnya dapat mengenalpasti tahap kewangan yang ingin dicapai dalam memastikan kelangsungan hidup yang baik untuk keluarga.

2 - PENYEDIAAN UNTUK SITUASI 'MALANG TAK BERBAU'

Sediakan payung sebelum hujan, pepatah yang cukup popular ini mengingatkan kita agar sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi apa sahaja kecelakaan di masa hadapan.

Walaupun kita sentiasa berhati-hati di dalam menjalani kehidupan, kita tidak dapat lari daripada kemalangan ataupun masalah gangguan kesihatan.

Tujuan insurans seperti Takaful contohnya diwujudkan adalah untuk memastikan harta anda dilindungi daripada kemalangan, kecacatan, kesakitan dan kematian.

Pelaburan anda dalam memastikan anda mempunyai insurans untuk melindungi diri dan keluarga daripada kecemasan tidak akan menjadi sia-sia.

Tetapkan matlamat anda untuk mendapatkan insurans yang sesuai bagi setia perkara insurans utama contohnya kesihatan, kecacatan, tanggungan, kekayaan dan lain-lain.

3 - URUSAN PELABURAN JANGKA PANJANG LEBIH TERJAMIN

Pelaburan merupakan komponen yang penting dalam perancangan kewangan hidup. 

Sekiranya anda mempunyai pengurusan pelaburan yang baik daripada sumber yang menyakinkan, ini dapat membantu anda dalam proses menguruskan perjalanan perbelanjaan anda. Ia membolehkan anda untuk mencapai impian dan cita-cita anda dengan mudah.

Jinak-jinakkan diri anda dalam bidang pelaburan yang anda mampu dan tidak membebankan supaya hasil dari pelaburan anda dapat dituai dengan baik.

Contohnya,

Pembelian rumah dan aset-aset lain, memulakan perniagaan, menghantar anak ke universiti atau bersara dengan selesa.

4 - SISTEM PERBELANJAAN LEBIH SISTEMATIK

Ukur baju dibadan sendiri.

Anda perlu berhati-hati dalam berbelanja dan pastikan berbelanja mengikut keperluan dan bukannya kemahuan. Zaman dunia penuh teknologi ini menjadi lambakan gadjet-gadjet idaman dan juga ‘high end’ produk yang menjadi kegilaan.

Dengan adanya perancangan kewangan yang baik, anda akan berfikir untuk jangka masa panjang dan bukannya membuat keputusan untuk kepuasan diri yang hanya sementara.

Simpan duit anda untuk perkara yang perlu sahaja. Bukannya menukar telefon bimbit anda setiap tahun, teknologi berevolusi sepantas kilat, anda menyesal tak sudah, telefon yang dibeli nilai merudum.

Jangan mensia-siakan pendapatan anda. Keperluan di masa hadapan mendahului kehendak yang hanya membawa harapan. Contohnya pembelian aset seperti rumah atau perbelanjaan keluarga.

5 - MEMAKSIMUMKAN PENDAPATAN DAN ASET

Dengan adanya perancangan kewangan yang baik, anda dapat memaksimumkan pendapatan dan kekayaan aset anda. Hal ini kerana anda mempunyai visi dan matlamat yang jelas dalam mencapai impian dan cita-cita anda.

Wang yang anda simpan daripada dibazirkan membeli perkara yang tidak berfaedah menjadi simpanan yang kukuh untuk masa hadapan.

Selain itu, dengan adanya perancangan kewangan yang baik anda dapat memulakan perniagaan sendiri dan menjadikannya pendapatan sampingan anda sekaligus menambah jumlah aset yang anda kumpul.

Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang senang kemudian.


Menyedari akan kebaikan mempunyai perancangan kewangan untuk masa depan, setiap individu perlu berhati-hati agar tidak terjerumus dalam hutang.

Perancangan kewangan perlu diberikan perhatian daripada peringkat awal kehidupan agar proses untuk menjayakannya tidak terlalu asing sekaligus dapat meningkatkan taraf kehidupan masyarakat.

Apa tunggu lagi? Aplikasikan dan selamat beramal!

Comments