'Eh, tak akan nak kena menabung lagi? Umur aku dah 25, sempat ke? Macam budak-budak je..'
Serius lah anda masih berfikiran macam ni? Tiada istilah terlambat tau.
Menabung tidak kira usia dan boleh menjadi penyelamat di masa akan datang apabila anda atau ahli keluarga benar-benar memerlukan dana kecemasan.
Nak tahu apa kesan-kesan negatif sekiranya anda tidak menabung?
Mari teruskan bersama InfoEkstra, kami akan membawakan anda lebih mendalam lagi akan kesan buruk tidak menabung.
Sikit-sikit lama-lama jadi bukit adalah pepatah yang tidak lazim lagi sering dikaitkan dengan amalan menabung.
Daripada usia kecil lagi kita didedahkan dengan amalan menabung namun apabila menginjak dewasa, semangat untuk meneruskan tradisi itu semakin pudar, menyebabkan ramai anak muda kita terjerumus dalam kesan negatif tidak mempunyai tabungan khas menghadapi masalah ekonomi.
InfoEkstra memberikan anda 5 kesan buruk tidak menabung.
Jom!
MENABUNG HANYA BILA PERLU?
Dek kerana terlalu ikutkan nafsu kebanyakan generasi muda kita tidak mempunyai wang tabungan mereka sendiri.
Heboh dengan gaya hidup yang mewah, hutang-piutang keliling pinggang. Tambahan pula, sistem pembelian 'Buy now, Pay Later' menyebabkan bebanan hutang semakin bertambah. Kos Tersembunyi seperti cas bayaran lambat dan sebagainya akan mengganggu perancangan kewangan anda.
Dengan adanya simpanan wang yang kukuh, anda tidak perlu lagi pening memikirkan masalah yang bakal anda hadapi di masa hadapan, pupuk semula amalan menabung, tiada istilah terlambat untuk anda.
Yang terlambatnya apabila hutang menggunung, duit dalam poket kosong.
Hidup nampak mewah, bank kosong sudah.
Menabung memastikan anda berada dalam kedudukan ekonomi yang stabil dan selamat. Ia menunjukkan juga bahawa anda pandai menguruskan kewangan anda dan tidak boros berbelanja.
5 KESAN BURUK TIDAK MENABUNG.
1 - TIADA DANA KECEMASAN UNTUK MEMBANTU
Dana kecemasan merupakan penyelamat untuk anda bagi menghadapi situasi yang berada di luar jangkaan anda. Kemalangan, kematian, kerosakan harta dan sebagainya akan membebankan anda sekiranya anda tidak mempunyai dana kecemasan untuk membantu.
Beringat-ingatlah sebelum kena, jangan sudah terhantuk baru terngadah.
Asingkan sedikit daripada pendapatan bulanan anda ke tabung dana kecemasan. Apatah lagi sekiranya anda sudah berkeluarga, dana kecemasan penting untuk memastikan keselamatan anak-anak dan perancangan ekonomi keluarga stabil.
Istilah menyesal tak sudah tak berguna lagi sekiranya anda lalai dan boros berbelanja sehingga terlupa untuk bersiap sedia menyediakan yang terbaik untuk keluarga.
Tabung dana kecemasan ini kedengaran remeh namun sumbangannya terhadap anda mampu mengubah perspektif anda terhadap kebaikan menabung.
2 - TIADA PENINGKATAN DALAM KUALITI HIDUP
Anda merasakan kehidupan anda sekarang ini selesa dengan apa yang telah anda miliki walaupun hakikatnya nilai kesemua aset anda itu akan berubah di masa hadapan.
Cuba melihat perkara ini dari sudut jangka masa panjang, kerana demand untuk kualiti di masa hadapan jauh lebih mencabar dan berkos tinggi.
Jika anda mahukan kehidupan yang selesa di masa hadapan, mulakan aktiviti menabung daripada zaman anda mula bekerja. Jika tidak mampu menyimpan dengan banyak, simpan sikit dahulu dan rancang perbelanjaan anda dengan bijak.
Tanpa simpanan yang kukuh, sukar untuk anda meningkatkan kualiti hidup kerana semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Berkorban selagi anda mempunyai tenaga muda demi mencapai kesenangan hidup dan ketenangan fikiran dalam menghadapi perubahan ekonomi mendatang.
3 - HUTANG SEMAKIN BERTAMBAH
Hal ini terjadi kerana hutang baru dibuat semata-mata untuk menampung hutang lama yang anda tidak mampu bayar.
Tiada kesudahan dalam cara anda menyelesaikan masalah hutang anda sekiranya anda terus berhutang.
Dengan adanya simpanan yang kukuh,
contohnya,
anda menyimpan di Tabung Haji ataupun ASB, anda tidak perlu pening membuat keputusan terburu-buru untuk menyelesaikan masalah hutang anda, sememangnya tujuan menabung itu untuk membantu anda menyelesaikan masalah kewangan yang anda hadapi.
Ada juga keluarga yang terpaksa melakukan pinjaman peribadi dan hutang kad kredit semata-mata untuk menampung kos perbelanjaan harian dan yuran anak-anak untuk ke sekolah. Walhal, perkara seperti ini tidak mungkin berlaku sekiranya anda mempunyai simpanan yang kukuh.
Hutang bertambah, masalah pun bercambah.
4 - TIDAK BERPELUANG UNTUK MEMILIKI ASET
‘Macam mana ni, nak beli rumah tapi tak cukup duit deposit.’
Perlu kah anda berhutang untung memiliki aset?
Ya, itu merupakan salah satu cara yang disediakan tetapi adalah lebih baik sekiranya anda mempunyai simpanan khas untuk perancangan memiliki aset anda sendiri.
Semakin tinggi harga sesebuah rumah itu, semakin tinggi nilai deposit yang perlu anda sediakan. Lupakan lah rumah idaman anda sekiranya anda tidak mempunyai wang simpanan khas untuk memiliki aset.
Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat akibat pemansuhan subsidi diesel, anda mesti perlu lebih bijak dalam menguruskan perbelanjaan sehari-harian dan elakkan pembelian yang tidak memberi manfaat.
Rancang sebaik-baiknya cara anda menabung agar impian anda untuk memiliki aset tidak tergendala.
5 - PERANCANGAN KEWANGAN TERGANGGU
Apabila umur semakin menginjak ke era 30-an ke atas dan anda telah pun berkeluarga, sudah pasti tanggungan anda tertumpu kepada kebajikan keluarga dan hutang-hutang seperti hutang kereta dan rumah.
Pengurusan kewangan anda mudah terganggu kerana anda mempunyai komitmen lain yang memerlukan pembayaran bulanan dalam jumlah tertentu. Anda tidak dapat mencari sumber lain untuk menabung wang simpanan.
Cuba cari pendapatan sampingan yang lain untuk mengelakkan anda mengusik jumlah yang telah anda asingkan daripada pendapatan bulanan anda.
Dalam era globalisasi ini dimana dunia bergantung harap pada teknologi, pelbagai jenis platform yang memberikan anda peluang untuk menjana pendapatan sampingan dari rumah.
Pendapatan persampingan itu dapat menjadi wang simpanan anda.
Tips Pengurusan Hutang
Dimana silapnya kita dalam memahami akan pentingnya amalan menabung ini?
Mungkin kita lebih melihat kepada nikmat kepuasan jangka masa pendek berbanding kesejahteraan hidup di masa hadapan.
Mula lah menabung sekarang, banyak aplikasi online yang dibangunkan khas untuk membantu kita menabung secara sistematik, ataupun ambil iniasitif untuk berjumpa penasihat kewangan bagi membantu anda.
Keadaan ekonomi sekarang mendesak untuk kita sentiasa bersiap-siaga dan sedia menghadapi apa-apa kemungkinan.
Tepuk dada, tanya diri sendiri, simpanan anda tu dah cukup ke?
good
ReplyDelete