on
Informasi
- Get link
- X
- Other Apps
Politik dan rasuah tidak boleh berpisah.
Perit dan pedih untuk rakyat menerima norma ini namun di dalam era globalisasi dimana ekonomi semakin mencabar, isu rasuah terus rancak diamalkan di dalam setiap peringkat pentadbiran.
Definisi rasuah di bawah Akta SPRM 2009:
Penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi.
Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah, diskaun.
Individu yang mengambil rasuah tidak memiliki nilai-nilai moral untuk mengharmonikan masyarakat kerana sangup meraih kemewahan dan keuntungan di atas kesengsaraan orang lain.
Hal ini akan menyebabkan timbulnya isu ketidakstabilan sosial di dalam masyarakat.
Barah rasuah ini merebak dari sifat pentingkan diri dan membantutkan proses kemajuan masyarakat dan negara.
Sudah semestinya sekiranya seseorang individu itu terlibat di dalam jenayah rasuah, segala cita-cita dan karier yang diidamkan akan terkubur.
Tindakan akan dikenakan kepada si pelaku dan akhirnya meninggalkan rekod buruk kepada perjalanan kerjayanya. Hal ini kerana kepercayaan yang diberikan sebelum ini disalahgunakan dan mengambil remeh akan amanah dan kepercayaan yang diberikan.
Si pelaku akan kehilangan kepercayaan dari masyarakat dan menyukarkan individu yang terlibat untuk melibatkan semula diri ke alam pekerjaan.
Keharmonian rumah tangga bersama anak-anak dan suami/isteri akan terjejas dek kerana jenayah rasuah yang dilakukan. Hilang keberkatan di dalam punca rezeki yang dicari.
Keluarga yang terlibat pasti tidak akan terlepas daripada menjadi bahan bualan masyarakat dan dipandang hina oleh kerana terlalu mengikutkan nafsu menerima rasuah.
Biarlah rezeki yang dicari itu sedikit tetapi cukup dan berkat untuk diberikan kepada keluarga.
Semua aset yang dimiliki oleh si pelaku akan disiasat satu persatu bagi membantu pihak berkuasa mengesan punca dan saluran rasuah.
Hal ini boleh menyebabkan si pelaku kehilangan harta, mata pencarian, aset yang dikumpulkan dari hasil rasuah yang diterima.
Keadaan ekonomi si pelaku pastinya akan terjejas dan memberikan kesukaran untuk mereka meneruskan kelansungan hidup.
Tekanan dari keluarga dan masyarakat sedikit sebanyak akan memberikan kesan psikologi kepada si pelaku. Pandangan serong dan kurang kepercayaan masyarakat akan menambahkan lagi beban pada kesihatan mental individu.
Kehilangan kerjaya, masalah keluarga dan harta akan menyebabkan pelaku melalui stress, depresi atau simptom psikologi lain yang lebih berat.
Pelaku juga akan mempunyai kepercayaan kendiri yang rendah atau low self-esteem apabila ingin keluar menghadap masyarakat untuk memulakan kehidupan baru.
Istilah 'pilih bulu' ini memang sinonim dengan budaya rasuah.
Penyalahgunaan kuasa dalam pentadbiran memberi ruang kepada mereka untuk mengaut keuntungan tanpa menilai dari segi kemahiran dan kualiti.
Hal ini boleh menimbulkan rasa penting diri sendiri dan tidak mahu berusaha untuk meningkatkan hasil kerja dan kemahiran yang ada.
Lahirlah generasi yang mahu cepat kaya tanpa usaha. Tak perlu jadi pandai, tak perlu berusaha tapi hasil masih dapat.
Disebabkan budaya 'pilih bulu' ini untuk kepentingan diri sendiri, segala jenis projek atau tender yang dikeluarkan untuk kemudahan rakyat akan dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja.
Tolak tepi soal kemahiran dan kualiti, asalkan hasil sogokan disalurkan kepada orang berkepentingan.
Padahnya, hasil kerja yang diharapkan daripada projek yang dibangunkan kurang kualiti dan akan mengancam keselamatan kepada orang awam yang menggunakan fasiliti-fasiliti tersebut.
Bangunan-bangunan yang dibina tidak mengikut spesifikasi namun diluluskan. Kesannya masyarakat juga yang perlu hadapi. Sesuai dengan peribahasa 'harapkan pegar, pegar makan padi'
Rasuah menyebabkan sumber dan kekayaan negara disalahguna dan diarahkan kepada individu tertentu sahaja. Harga barang dan perkhidmatan akan dinaikkan bagi menampung kos sogokan penjual.
Barangan atau perkhidmatan yang sepatutnya dalam harga yang terkawal akan melambung naik semata-mata kerana jenayah rasuah yang semakin berleluasa.
Sudahnya masyarakat juga yang perlu menanggung isu peningkatan kos sara hidup dalam era ekonomi yang semakin mencabar.
Masyarakat yang terjejas oleh rasuah mungkin menghadapi kemiskinan, ketidakadilan, dan kehidupan yang sukar.
Terdapat segilintir golongan yang memonopoli ekonomi ini mengambil kesempatan dan memberikan keutamaan kepada kroni mereka yang dilihat dapat memberi kepentingan dan keuntungan.
Sebaliknya ramai lagi yang layak untuk mendapatkan peluang mengembangkan perniagaan dan kemahiran mereka tidak mengira kaum mahupun bangsa.
Ketidakadilan ini menafikan hak golongan tertentu dan menjarakkan lagi jurang antara kaya dan miskin.
Sekiranya jenayah rasuah ini dibiarkan berleluasa, maka lahirlah masyarakat yang pentingkan diri sendiri dan tidak peduli akan keharmonian dan kestabilan ekonomi negara.
Yang kaya semakin kaya, yang miskin semakin miskin. Jenayah rasuah ini merupakan punca kepada jurang status ini semakin besar kerana sanggup hidup senang di atas kesusahan orang lain.
Tiada lagi nilai-nilai cintakan negara, mengharmonikan masyarakat kerana terlalu pentingkan diri sendiri untuk hidup senang-lenang.
Budaya rasuah ini akan menyebabkan pentadbiran kerajaan menjadi kucar-kacir dan kurang sistematik kerana tidak mengikut saluran kerja yang sepatutnya.
Segala proses permohonan ataupun pembinaan sesebuah projek akan menjadi lambat dan bergantung harap kepada perjanjian diantara pihak yang menerima rasuah.
Hasilnya, banyak projek tergendala, permohonan bantuan tidak disalurkan kepada mereka yang sepatutnya menerima dan banyak lagi.
Kos pengurusan pentadbiran kerajaan juga akan meningkat untuk menampung kos sogokan-sogokan rasuah kepada mereka yang berkepentingan.
Nak percepatkan projek atau permohonan? Melalui hasil sogokan baru semua kerja akan bergerak dan hal ini secara tidak langsung menambah kos daripada jumlah yang sepatutnya.
Hal ini akan menjejaskan perkembangan ekonomi negara dan membantutkan pembangunan masyarakat.
Tahukah anda bahawa Indeks Persepsi Rasuah (CPI) mengkhususkan kepada isu persepsi tahap rasuah sesebuah negara di mana kedudukan sesebuah negara akan disenaraikan mengikut skor yang diperoleh dan bukannya berdasarkan realiti sebenar tahap rasuah di negara terbabit.
Setiap tahun Indeks CPI yang baru akan dikeluarkan dan kita dapat melihat skor negara-negara dalam tahap korupsi pentadbiran mereka.
Negara yang terjejas oleh rasuah akan menghadapi ketidakstabilan sosial dan kurangnya keyakinan dari komuniti antarabangsa untuk melabur dan hubungan diplomatik yang amat penting ketika ini.
Negara yang mempunyai skor penglibatan rasuah yang tinggi akan menjejaskan perkembangan ekonomi kerana pelabur-pelabur dari luar tidak mahu menanggung risiko untuk melabur ke dalam negara. Pelabur dan perniagaan asing akan berhati-hati untuk melabur dalam negara yang tercemar dengan rasuah.
Pelaburan dari luar ini dapat membantu mengembangkan potensi hasil negara yang ada, tetapi budaya rasuah akan menyebabkan hasil ini dimonopoli oleh golongan tertentu sahaja.
Negara akan kehilangan daya saing dalam ekonomi dan hasil negara (pengaliran wang ke luar negara)
Proses membuat keputusan yang sepatutnya dilakukan di atas dasar pinsip keadilan dan kepentingan awam akan terpesong kerana dipengaruhi budaya rasuah. Hal ini semestinya akan menyebabkan ketidakstabilan politik dan menjejaskan institusi negara.
Akibatnya, pembangunan ekonomi negara semakin melembap, kurangkan sumber pengurusan negara dan kelemahan dalam menyampaikan perkhidmatan awam.
Rasuah mengancam amalan pentadbiran yang sistematik dan berkesan untuk negara.
Konklusinya di sini, amalan rasuah adalah barah yang mampu merosakkan setiap individu yang mengamalkannya, masyarakat menjadi mangsa dan pentadbiran negara meruntuh.
Untuk mengatasi amalam rasuah, amatlah penting kesedaran mengenai jenayah ini dipupuk sedari kecil terutama sekali di dalam bidang pendidikan.
Tindakan yang tegas dan penguatkuasaan undang-undang yang berkesan perlu dilaksanakan kepada semua individu yang terlibat tidak kira bangsa, agama mahupun jawatan yang dipegang.
Jangan biarkan pepatah 'gajah berjuang sama gajah, pelanduk mati di tengah-tengah' menjadi norma di dalam kehidupan masyarakat khususnya di Malaysia.
Majulah negara tanpa RASUAH.
Comments
Post a Comment