5 Cara Beli Tiket Flight Murah Tahun Ini

Karangan Kesedaran Keselamatan Siber 2024 : 10 Isi Penting

Apa itu 'Keselamatan Siber?'

Keselamatan siber atau keselamatan teknologi maklumat merupakan perlindungan sistem komputer daripada pencurian atau kerosakan pada perkakasan sistem, perisian atau data eletronik komputer serta gangguan dari perkhidmatan luar yang diberikan.

Era globalisasi dimana segala maklumat boleh diperoleh hanya di hujung jari, kesedaran keselamatan siber ini penting untuk memastikan segala data peribadi anda selamat dari jenayah siber, ketirisan maklumat, aktiviti 'hacking' dan kandungan internet yang bahaya.

Admin kali ini akan berkongsikan Karangan Kesedaran Keselamatan Siber 2024 : 10 Langkah Berjaga untuk panduan bersama.

Jom baca!

Karangan Kesedaran Keselamatan Siber 2024 : 10 Isi Penting

Adakah kesedaran keselamatan siber ini penting?

Ya, kerana tanpa mengamalkan langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya, serangan siber boleh menyebabkan isu-isu serius seperti kecurian data peribadi pengguna, gangguan pentadbiran dan operasi syarikat/perniagaan, kecurian kewangan atas talian dan banyak lagi.

Pengguna perlu memahami risiko yang bakal dilalui dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sewajarnya bagi mengelakkan anda menjadi mangsa jenayah siber yang kian berleluasa ini.

Bagaimana?

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, bersama Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia telah menggariskan 10 langkah mudah sebagai panduan untuk kita bersama-sama meningkatkan kesedaran keselamatan siber.

karangan-kesedaran-keselamatan-siber-2024

PENGGUNAAN KATA LALUAN YANG KUKUH

Kata laluan atau password merupakan kunci utama untuk melindungi maklumat peribadi anda. Anda perlu menggunakan kata laluan yang kukuh agar sukar digodam oleh pihak yang tak bertanggungjawab. Tambahkan simbol, nombor atau gabungan huruf untuk menghasilkan kata laluan yang kreatif.

Selain itu, elakkan daripada berkongsikan kata laluan anda sewenang-wenangnya untuk membuat sebarang urusan dan sentiasa tukar kata laluan secara berkala. Sebolehnya elakkan menggunakan kata laluan yang sama untuk setiap peranti dan aplikasi yang digunakan.

Sekiranya anda ingin menghantar sebarang dokumen rasmi kerajaan secara atas talian, gunakan kaedah encrypt iaitu melindungi dokumen tersebut dengan kata laluan untuk memastikan dokumen tersebut selamat dan sukar dicuri.

MEMASANG PERISIAN KESELAMATAN 

Untuk mengukuhkan lagi keselamatan komputer dan gajet anda, lengkapkan ianya dengan perisian keselamatan seperti antivirus dan anti spyware yang terkini.

Pastikan anda memasang perisian keselamatan yang tulen dan elakkan daripada menggunakan perisian yang telah tamat tempoh. Anda perlu peka dan kemas kini aplikasi perisian keselamatan anda untuk menikmati perlindungan terkini daripada serangan siber yang sentiasa berevolusi.

Pelbagai perisian keselamatan yang baik ditawarkan di aplikasi Google Playstore seperti AVG Antivirus  & Security, Avast Antivirus & Security, VPN by Kapersky dan banyak lagi.

Pelaburan yang baik untuk keselamatan yang berpanjangan.

karangan-kesedaran-keselamatan-siber-2024-3

PENYIMPANAN DAN PERLINDUNGAN MAKLUMAT DENGAN BAIK

Cara penyimpanan dan perlindunagn maklumat juga memainkan peranan yang penting bagi mengelakkan jenayah siber berlaku dengan mudah. 

Pertamanya, pastikan meja kerja anda dikemas dan semua maklumat rasmi fizikal ataupun yang berada di dalam peranti storan seperti pendrive dan hardisk disimpan dengan baik. Back up maklumat digital anda di dalam storan pendua secara berkala.

Seterusnya, jangan memuat naik dokumen rasmi kerajaan  dalam public cloud seperti Google Cloud Platform (GCP). Elakkan daripada meninggalkan komputer atau gajet anda tanpa sebarang pengawasan dan sekiranya anda telah selesai bekerja, putuskan sambungan internet dan wi-fi yang ada. 

ELAKKAN MUAT TURUN APLIKASI YANG MENCURIGAKAN

Pelbagai jenis aplikasi dibina untuk memudahkan urusan rutin seharian kita namun suka untuk admin ingatkan supaya kita sentiasa berjaga-jaga daripada memuat turun aplikasi yang tidak diketahui tahap keselamatannya.

Selain itu, elakkan daripada terpedaya untuk klik pada pautan yang mencurigakan dan seterusnya memuat turun aplikasi yang menjadi medium kepada hackers untuk mencuri maklumat anda.

Jangan mudah percaya kepada kandungan laman web, blog atau email daripada orang yang tidak dikenali dan selalu rujuk dahulu daripada sumber-sumber yang sahih.

BERHEMAH DALAM PENGGUNAAN INTERNET DAN MEDIA SOSIAL

Penggunaan internet adalah satu keperluan utama sehari-harian masyarakat dari peringkat sistem pentadbiran negara sehingga lah kepada penggunaan media sosial individu. 

Untuk itu, kita sebagai pengguna perlu mengamalkan sikap berhemah dan beretika ketika menggunakan internet dan media sosial bagi mengelakkan isu jenayah siber semakin meningkat.

Antara etika yang boleh diamalkan oleh pengguna adalah seperti berikut:

  • Tidak berkongsi maklumat yang berkaitan hak cipta dan harta intelek seperti karya muzik, filem, karya seni dan lain-lain melainkan telah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada pihak yang berkenaan.
  • Elakkan daripada berkongsi maklumat peribadi dan maklumat berkaitan tugas rasmi di laman media sosial anda.
  • Elakkan menggunakan media sosial di waktu pejabat untuk kegunaan peibadi
  • Elakkan membuat sebarang komen mengenai isu melibatkan agensi/organisasi atau yang berbentuk serangan peribadi.
  • Elakkan daripada menggunakan wi-fi umum yang tidak diketahui tahap keselamatannya untuk melaksanakan kerja-kerja rasmi
karangan-kesedaran-keselamatan-siber-2024-1

SENTIASA BERWASPADA DENGAN JENAYAH SIBER

Penipuan scammer antara jenayah siber yang semakin berleluasa dan sentiasa mengubah modus operandi mereka untuk memerangkap mangsa.

Pengguna perlu berwaspada dan jangan sekali-kali membenarkan individu lain menggunakan identiti anda dan log masuk ke akaun e-mel dan media sosial. 

Antara modus operandi scammer yang terkini adalah mencipta naratif bahawa mereka ini merupakan orang kementerian yang memerlukan akses akaun e-mel atau media sosial pengguna untuk menyelesaikan masalah mereka diperingkat kementerian.

Jangan mudah terpedaya dan dengan mudah terus memberikan data peribadi anda kononnya untuk membantu menyelesaikan masalah tersebut.

Pengguna juga perlu mengelak daripada melayari laman web yang menyebarkan ideologi keganasan, kempen skim cepat kaya, kandungan berunsurkan lucah, penyebaran maklumat palsu dan lain-lain.

BERFIKIR DAHULU SEBELUM KLIK

Antara cara yang licik digunakan untuk menjerat pengguna di dalam perangkap mereka, scammer atau hacker ini akan mengeluarkan pautan-pautan yang mencurigakan. 

Jangan klik pada pautan tersebut kerani dari satu klik sahaja, semua maklumat peribadi anda boleh dicuri dan peranti anda akan digodam. 

Padamkan e-mel dan lampiran yang mencurigakan daripada peti masuk e-mel anda dan jangan klik pada mana-mana pautan yang dihantar oleh orang yang tidak dikenali.

Fikir dahulu sebelum klik dan pastikan pautan yang dipaparkan adalah daripada pihak yang sah dan boleh dipercayai.

MELAPORKAN INSIDEN YANG BERLAKU

Sekiranya anda telah menjadi mangsa ke atas insiden melibatkan penipuan maklumat, adalah dinasihatkan agar segera membuat laporan kepada pihak yang berkuasa.

Anda juga boleh melaporkan e-mel atau pautan yang mencurigakan daripada orang yang tidak dikenali kepada Bahagian Teknologi Maklumat.

Selain itu, laporan juga boleh dikemukakan jika anda kehilangan sebarang aset ICT kerajaan seperti peranti storan, komputer riba dan komputer.

Maklumat yang diterima pihak berkuasa dapat membantu menjejak pihak yang tidak bertanggungjawab ini dan sekaligus membanteras jenayah siber dalam kalangan masyarakat.

SENTIASA PEKA DAN AMBIL TAHU

Sebagai pengguna internet dan media sosial yang bijak, masyarakat perlu peka dan mempunyai sifat ambil tahu akan fenomena jenayah siber yang semakin berleluasa.

Ini adalah kerana tahap kesedaran yang tinggi dalam masyarakat akan membantu mengelakkan untuk terjadinya isu-isu penipuan data dan wang yang semakin rancak digiatkan penjenayah siber.

Luangkan masa untuk membaca dan menyebarkan informasi berkenaan keselamatan siber kepada rakan taulan, keluarga dan masyarakat keseluruhannya.

Jangan lah amalkan sikap sambil lewa, nanti sudah terhantuk baru nak terngadah. 

PATUHI ARAHAN DAN GARIS PANDUAN KESELAMATAN SIBER

Pengguna media sosial dan internet perlu mengambil tahu dan mematuhi polisi, arahan, peraturan, garis panduan dan pekeliling berkaitan keselamatan siber yang dikeluarkan agensi anda ataupun kerajaan.

Arahan dan garis panduan ini adalah untuk memastikan masyarakat terlindung daripada jenayah siber dan memberikan jaminan keharmonian dalam menjalani aktiviti seharian.

Pengguna perlu memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa dan terus berhati-hati dalam menggunakan platform di atas talian. 

karangan-kesedaran-keselamatan-siber-2024-2

Kesimpulan Karangan Kesedaran Keselamatan Siber 2024 : 10 Isi Penting

Tidak dapat kita nafikan, selari dengan peningkatan kecanggihan teknologi dunia, risiko bertambahnya kes jenayah siber juga membimbangkan.

Walaupun evolusi dunia siber itu adalah untuk kebaikan manusia sejagat, namun masih ada segilintir pihak yang melihat situasi ini sebagai satu peluang untuk meraih kepentingan diri sendiri.

Jadilah pengguna yang bijak dan sentiasa peka akan perkembangan dunia siber dan sama-sama membangunkan dunia teknologi yang aman dan bebas penipuan untuk kesejahteraan masyarakat.

Semoga artikel kali ini memberi manfaat kepada anda semua. 

Terima kasih.

SUMBERAGENSI KESELAMATAN SIBER NEGARA - LANGKAH MUDAH KESEDARAN KESELAMATAN SIBER

Comments