Kenapa Akaun Bank Anda Dibekukan Atau Disekat?

Nak tahu kenapa akaun bank anda dibekukan ataupun disekat?

Apa pula perbezaan antara akaun yang dibekukan dengan akaun bank yang disekat?

Nasib baik admin bawakan anda entri hari ini Kenapa Akaun Bank Anda Dibekukan Atau Disekat? sebagai panduan untuk anda di luar sana.

Mari kita kupas satu persatu mengenai isu ini untuk kita sama-sama mencari cara bagi menyelamatkan akaun bank anda daripada mengalami masalah di atas.

Jom teruskan bersama kami!

Apa Beza Akaun Bank Yang Dibekukan Dengan Akaun Bank Yang Disekat?

Suka untuk admin ingatkan disini terma 'Beku' dan 'Sekat' dalam konteks perbincangan kita hari ini mempunyai definisi yang berbeza.
 
Bagi memudahkan untuk para membaca memahami penggunaan dua terma ini, admin akan memberikan contoh situasi seperti di bawah:
 

SITUASI 1 - AKAUN BANK DISEKAT

Maksud akaun disekat disini adalah sebarang kemasukan duit ke dalam akaun anda berjalan seperti biasa, tetapi anda tidak boleh membuat pengeluaran duit tersebut daripada bank anda.
 
Dalam bahasa mudahnya, duit boleh masuk tapi tak boleh keluar.
 

SITUASI 2 - AKAUN BANK DIBEKUKAN

Situasi akan menjadi lebih serius apabila akaun anda dibekukan.
 
Tiada sebarang transaksi dibenarkan berlaku  melalui akaun anda. Duit nak masuk tak boleh nak keluar pun tak boleh.
 
Pembekukan akaun bank boleh dilaksanakan hanya melalui PERINTAH MAHKAMAH. Tidak sewenang-wenangnya sesetengah pihak atau institusi kewangan untuk membekukan akaun anda.
 
Apa punca yang menyebabkan situasi di atas terjadi pada anda?
 
Jom baca lagi.
 
akaun-bank-dibekukan-disekat

Kenapa Akaun Bank Anda Dibekukan Atau Disekat?  

Jom kita tengok satu persatu situasi di bawah.

KENAPA AKAUN BANK SAYA DISEKAT? 

Sebab utama bank anda disekat adalah kerana: 

TIDAK MEMBAYAR HUTANG KEPADA PIHAK PEMIUTANG 

Katakanlah anda ada membuat pinjaman dengan Bank A untuk membeli kereta, pinjaman peribadi dan sebagainya dan akaun anda juga adalah akaun Bank A.
 
Isu sekatan akaun ini akan timbul apabila anda gagal atau ingkar menepati perjanjian untuk membayar semula pinjaman anda dengan Bank A tadi.  
 
Bank A mempunyai hak untuk menyekat akaun bank anda dan mengambil wang yang sedia ada sehingga pinjaman anda yang tertunggak dengan mereka selesai.

Seperti yang admin sebutkan di atas, bagi pemegang akaun yang mempunyai akaun pinjaman mereka di institusi yang sama dengan akaun bank mereka (Contoh di atas Bank A), pemberi pinjaman (Bank A) boleh mendapatkan akses kepada akaun cek atau simpanan anda untuk mengutip pembayaran atas pinjaman yang ingkar tanpa memfailkan tuntutan mahkamah atau penghakiman terlebih dahulu.

Kebiasaannya, tanpa kita sedari, kita telahpun memberi kuasa ke atas pihak bank pemberi pinjaman semasa kita menandatangani perjanjian pinjaman dengan mereka.

Jadi apa jalan penyelesaian yang boleh anda lakukan?

Anda perlu segera mendapatkan maklumat terperinci daripada bank anda. Pastikan anda mempunyai pemahaman yang menyeluruh mengenai apa yang sedang berlaku dengan akaun anda dan membuat pengaturan pembayaran.

Apabila anda mengabaikan akaun bank yang telah disekat boleh menyebabkan masalah menjadi lebih buruk.

Perkara ini menyebabkan penurunan skor kredit anda dan menambah lagi pembayaran anda kepada pihak pemiutang seterusnya jika pinjaman anda sampai ketahap muflis anda boleh diisytiharkan bankrup.

KENAPA AKAUN BANK SAYA DIBEKUKAN?

Sebab-sebab utama akaun anda dibekukan adalah:

BANK MENGESYAKI AKAUN BANK ANDA DIGUNAKAN UNTUK AKTIVITI HARAM

Untuk makluman anda, pihak bank boleh mengenakan sekatan ke atas mana-mana pelanggan atau akaun bank yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan akaun atau aktiviti jenayah.
 
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz walaubagaimanapun menyatakan situasi ini akan berlaku tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui semasa pembukaan akaun.
 
"Sekiranya transaksi-transaksi sesebuah akaun menimbulkan kecurigaan, pihak bank boleh mengenakan sekatan sementara ke atas akaun tersebut."

"Ia bagi membolehkan penilaian secara menyeluruh dilaksanakan, di samping memastikan wang daripada aktiviti penipuan ataupun aktiviti-aktiviti jenayah lain tidak dikeluarkan daripada akaun tersebut''

 Sumber: Astroawani, Mac 2022

Penerimaan bayaran yang mencurigakan dari luar negara atau jumlah deposit wang yang mencurigakan juga boleh menyebabkan akaun anda dihantar ke pihak Bank Negara untuk siasatan. Oleh sebab itu, penting untuk anda menyediakan atau memiliki dokumen yang sah dari pihak yang melakukan transaksi keluar masuk wang dari luar negara.

Aktiviti perjudian juga boleh menyebabkan bank membekukan akaun anda sekiranya pihak bank mengesyaki transaksi keluar masuk wang yang mencurigakan.
 
Kes seperti ini jarang berlaku, kepada semua pemegang akaun. Tetapi, sekiranya anda mengalami situasi ini adalah dinasihatkan untuk mendapatkan bantuan peguam untuk menyelesaikannya.

TIDAK BAYAR HUTANG KEPADA KERAJAAN 

Apa maksud tak bayar hutang kerajaan ni?

Individu yang berhutang dengan pihak kerajaan atau TIDAK MEMBAYAR CUKAI yang dikenakan ke atasnya (tidak kira apa jenis cukai yang dikenakan) boleh menyebabkan akaun bank anda beku serta-merta.

Termasuk juga pinjaman pelajaran khusus buat peminjam yang tidak membayar hutang, kerajaan boleh melakukan tindakan yang tidak memerlukan penghakiman seperti membuat potongan secara automatik kepada akaun anda mengikut peratusan gaji bagi pekerja awam setiap bulan sehingga pinjaman selesai.

Individu yang bekerja sendiri atau swasta tindakan boleh dikenakan juga ke atas mereka apabila pihak kerajaan melaksanakan perintah mahkamah untuk menuntut pembayaran pinjaman ataupun mengisytiharkan muflis kepada peminjam jika gagal membuat pembayaran.
 
Perkara yang sama juga akan dikenakan ke atas penjamin yang menjamin anda.

MACAM MANA NAK SELESAIKAN MASALAH AKAUN BANK SAYA DISEKAT ATAU DIBEKUKAN?

Antara penyelesaian sementara yang boleh admin cadangkan adalah: 
  1. Individu yang terbabit perlu segera menghubungi pihak bank untuk mendapatkan perincian mengenai isu yang dihadapi. Ambil serius atas segala informasi yang dikongsi pihak bank bagi mencari penyelesaian yang terbaik. Jika melibatkan isu seperti aktiviti haram, adalah dinasihatkan anda terus berhubung dengan pihak Bank Negara.
  2. Individu yang dibeku/disekat akaun bank kerana isu hutang adalah dinasihatkan untuk segera mendapatkan khidmat nasihat kewangan dan rujuk kes anda ke Jabatan Insolvensi Malaysia. Kegagalan mengambil tindakan pembetulan dengan segera akan menyebabkan anda diisytiharkan muflis.

Kesimpulan

Diharapkan dengan perkongsian kami hari ini dapat membantu anda mencari solusi bagi yang mengalami situasi pembekuan/sekatan akaun bank secara tiba-tiba.

Semoga kita semua menjadi lebih berhati-hati dan peka akan apa-apa proses pembayaran pinjaman, keluar masuk duit ke bank dari luar negara dan sumber transaksi yang dimasukkan ke dalam akaun bank bagi mengelakkan perkara yang tidak diingin berlaku.

Comments