on
Informasi
- Get link
- X
- Other Apps
Membaca itu jambatan ilmu.
Seringkali kita diingatkan bahawa amalan membaca mampu membentuk minda yang sihat dan cergas.
Walaupun begitu, amalan membaca ini tidak dilihat sebagai satu aktiviti yang menarik dan menyeronokkan. Sebut sahaja 'membaca' kita akan rasa bosan dan malas, padahnya minda kita kurang diberikan 'senaman' untuk kekal cergas.
Kelesuan minda akan membantutkan proses pemikiran yang kritis dan kreatif. Ini akan memberikan kesan yang buruk kepada individu dan masyarakat.
Admin kali ini akan berkongsikan dengan anda 5 Kesan Buruk Tidak Minat Membaca untuk dijadikan panduan bersama.
Jom baca!
Kalau nak dikatakan membaca buku itu membosankan, kecanggihan teknologi masa kini memberikan kita banyak pilihan untuk memilih medium pembacaan yang lebih menarik dan kondusif seperti e-book yang boleh didapati melalui telefon pintar yang dimiliki.
Namun, dek kerana pengaruh media sosial yang semakin luas aktiviti membaca dianggap asing dan tidak cukup menarik untuk diberikan perhatian.
Kesan kepada sikap tidak minat membaca ini adalah seperti berikut:
Kurang membaca akan menyebabkan kelembapan daya fikiran seseorang individu untuk memproses atau memahami sesuatu perkara. Hal ini boleh membawa kepada kegagalan kita untuk memahami realiti semasa yang sedang melanda dunia.
Kecanggihan teknologi masa kini mampu mengubah naratif sesuatu isu atau memutar belitkan informasi dan fakta yang sedia ada. Amatlah penting untuk kita menapis semua maklumat ini dengan betul agar informasi dan isu sebenar sampai dan mudah difahami.
Ilmu yang diperolehi daripada amalan membaca dapat membantu kita membentuk kesedaran di dalam minda dan menjadikannya medium untuk memahami realiti yang sedang berlaku di dalam dunia semasa.
Contohnya isu perang di antara negara dan kesannya pada ekonomi negara, fakta berkenaan sukan olimpik paris 2024 yang sedang berlansung dan banyak lagi.
Idea yang kreatif datangnya daripada pemikiran yang kritis atau 'critical thinking'. Amalan membaca akan membantu minda untuk melihat pelbagai corak pemikiran kreatif melalui penulisan dan meningkatkan daya cipta.
Namun, akibat tidak minat membaca ini akan menyukarkan seseorang individu itu untuk lahir dengan idea-idea yang kreatif dan kompetitif dan akhirnya membentuk masyarakat yang kurang daya cipta.
Negara memerlukan masyarakat yang mempunyai sifat daya saing yang tinggi dan sentiasa kritis bagi membantu untuk memajukan negara.
Sekiranya amalan membaca ini terus dipandang enteng terutama sekali dari peringkat bangku sekolah, negara tidak dapat melahirkan generasi yang cemerlang dan kreatif.
Apa itu plagiarisme? Dan mengapa ianya merupakan satu kesalahan?
Menurut Dr. Khairunneezam Mohd Noor (Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan USIM), Plagiarisme adalah apabila seseorang menghasilkan semula atau menciplak hasil ilmiah milik orang lain sama ada dalam bentuk perkataan-perkataan, idea-idea atau penemuan-penemuan tertentu.
Akibat kurangnya ilmu, sahsiah dan rohani kerani tidak minat membaca, individu akan cenderung untuk menciplak dan meniru semula idea sedia ada.
Peniruan ini dilakukan tanpa mengiktiraf idea asal atau memberi rujukan yang sepatutnya kepada pemilik hasil ilmiah.
Ketandusan idea yang asli dan kreatif serta kurangnya nilai-nilai menghormati ilmu akan meningkatkan jenayah plagiarisme ini.
Setiap kali anda membaca ianya akan meningkatkan kefahaman anda dalam isu tertentu, mempunyai ruang fikiran yang lebih luas serta berani untuk berkomunikasi membincangkan isu-isu semasa.
Tetapi, akibat kurangnya minat membaca, anda mempunyai ilmu dan kosa kata yang terhad dimana akhirnya akan menyebabkan anda kurang keyakinan diri untuk menyampaikan pendapat.
Boleh jadi pendapat anda itu kurang tepat atau salah dek kerana kurang pengetahuan atas isu yang dibincangkan.
Kesan psikologi ini akan membantutkan pertumbuhan kanak-kanan terutamanya dan menyukarkan ibubapa atau guru untuk mendorong mereka memupuk minat untuk membaca.
Sejak di bangku sekolah lagi membaca itu sinonim dengan sekadar untuk lulus peperiksaan atau terpaksa di bawa di dalam beg sebagai syarat untuk belajar di dalam kelas. Ini boleh mencetuskan kelesuan di dalam pembelajaran di sekolah mahupun di peringkat universiti.
Mentaliti ini akan menyebabkan para pelajar tidak minat untuk membaca buku teks mereka kerana terkait dengan stress dan takut dimarahi kerana tidak membawa buku teks semasa sesi pembelajaran.
Gejala ponteng sekolah, ponteng kelas akan menjadi lebih serius kerana pelajar tidak berminat untuk belajar di dalam kelas dan kurang fokus kepada apa yang disampaikan oleh guru.
Ibubapa atau penjaga perlu memantau perkembangan anak-anak mereka dari rumah lagi untuk membantu guru-guru di sekolah memupuk amalan membaca melalui program dan kempen yang dijalankan.
Pelbagai program dan kempen telah dilaksanakan daripada peringkat sekolah hingga ke peringkat universiti dan amnya bagi meningkatkan minat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Namun saban tahun peratusan buku yang dibaca oleh individu dalam tempoh tertentu semakin menurun dan kurang memberikan hasil yang memberansangkan.
Dimanakah kekurangannya di dalam pelaksanaan ini?
Ibubapa terutamanya perlu menunjukkan contoh dari rumah lagi kepada anak-anak akan kebaikan budaya membaca, hal ini sedikit sebanyak dapat membantu generasi akan datang untuk menjadi yang cergas mindanya dan tinggi daya saing.
Marilah kita sama-sama memupuk minat membaca itu sendiri ke dalam diri, berusaha untuk menjadi individu yang sentiasa dahagakan ilmu dan informasi demi kesejahteraan masyarakat dan negara.
Comments
Post a Comment